MENERAJUI USIA EMAS YANG BERKUALITI: KAJIAN KES DI PONDOK WARGA EMAS, MADRASAH IBNU MAS’UD, SEGAMAT
https://www.researchgate.net/publication/344293628_MENERAJUI_USIA_EMAS_YANG_BERKUALITI_KAJIAN_KES_DI_PONDOK_WARGA_EMAS_MADRASAH_IBNU_MAS'UD_SEGAMAT
ABSTRAK
Golongan
warga emas memerlukan rasa selamat, sentiasa berhubungan dengan orang lain dan
percaya bahawa kehidupan mereka sentiasa bermakna. Keperluan emosi ini sangat
penting untuk mengelakkan mereka daripada mengalami kemurungan. Kajian ini
melihat pengalaman kehidupan berkualiti yang dirasai penghuni Pondok Warga
Emas, Madrasah Ibnu Mas’ud. Institusi ini bermula sejak 2011 dengan tujuan
untuk membantu golongan warga emas mengecapi hidup yang berkualiti terutama
selepas persaraan mereka. Satu daripada perkhidmatan utamanya ialah menyediakan
tempat tinggal yang kondusif kepada warga emas di dalam komuniti yang kecil.
Institusi ini menganjurkan pelbagai aktiviti kerohanian untuk mengisi masa
penghuninya dengan aktiviti yang berfaedah. Persoalan utama kajian ini adalah
untuk mengkaji adakah suasana dan aktiviti di institusi ini membantu golongan
warga emas mengecapi hidup yang berkualiti. Kaedah yang digunakan ialah
berdasarkan pemerhatian penulis selama tujuh tahun menguruskan institusi ini.
Adalah dicadangkan kerajaan perlu menyediakan dan membantu institusi seperti
ini kerana ia adalah satu alternatif yang berkesan untuk golongan warga emas
mengecapi kehidupan yang lebih berkualiti.
Katakunci: Kualiti hidup, Warga emas, Keperluan emosi, Pondok Warga Emas, Madrasah Ibnu Mas’ud.
PENDAHULUAN
Golongan
warga emas merupakan golongan yang terhormat di dalam masyarakat. Di Malaysia,
warga emas merujuk kepada golongan yang telah bersara bermula sekitar umur 58
atau 60 tahun (Abbas & Saruwono, 2012). Golongan
ini sangat berjasa dan tanpa sumbangan mereka, tiadalah kejayaan yang dicapai
masyarakat dan negara pada hari ini. Nabi Muhammad SAW memberi panduan yang
jelas agar golongan ini sentiasa dihormati seperti hadis baginda yang bermaksud
“tiada seorang pemuda yang menghormati dan memuliakan seseorang yang tua
usianya melainkan Allah akan menentukan baginya orang lain yang akan
menghormati kelak apabila dia pula mencapai usia tua." (Hadis Riwayat
At-Tirmizi).
Malaysia
seperti kebanyakan negara-negara lain di asia, bakal menjadi negara menua. Jumlah warga emas di negara kita
dijangka meningkat 15 peratus kepada 5.6 juta orang menjelang 2030 (Bernama, 2018) dan
dijangka terus meningkat 22 peratus kepada 8.7 juta orang menjelang 2050. Pertambahan
ini disebabkan faktor kemudahan kesihatan yang semakin hebat berbanding masa
lalu, yang membantu meningkatkan jangka hayat seseorang (Abbas & Saruwono, 2012). Menyedari
hakikat ini, kerajaan telah merangka satu dasar yang dikenali sebagai Dasar
Warga Emas Negara untuk menghadapi cabaran baru dalam menguruskan golongan
warga emas (N. Ibrahim, Mat Saad, & Ahmad Ramly, 2011).
Kejayaan
dasar ini tidak boleh hanya bergantung kepada usaha kerajaan semata-mata tetapi
sangat berkait rapat dengan keprihatinan semua pihak termasuk badan bukan
kerajaan (NGO) dalam usaha untuk membantu kerajaan mencapainya. Kajian ini
menampilkan suatu initiatif yang telah dilakukan oleh Pertubuhan Kebajikan Dan
Dakwah Ibnu Mas’ud dalam menyediakan satu platform untuk memperkasa kehidupan
warga emas melalui pusat pengajian yang ditubuhkannya.
LATAR BELAKANG KAJIAN
Warga emas
memerlukan sokongan emosi dan spiritual selain keperluan fizikal untuk menjamin
kehidupan yang bahagia. Untuk memenuhi keperluan ini, sebahagian warga emas
telah menjadikan institusi pondok sebagai pilihan mereka. Mendengar perkataan
pondok itu sendiri akan menimbulkan persepsi rumah kayu kecil, buruk yang serba
daif dengan air telaga tanpa bekalan elektrik. Apabila dikaitkan dengan
institusi pengajian pula, pondok adalah satu tradisi ilmu yang menjadi
kebanggaan masyarakat Melayu Islam di nusantara ini (Mohamad Rawi, Baharudin, Lubis, & Romli, 2015).
Sepanjang sejarahnya, terlalu besar jasa institusi pondok dalam melahirkan para
agamawan di rantau ini. Institusi pondok biasanya diasaskan oleh tokoh agama
untuk memberi didikan agama kepada setiap golongan masyarakat bermula dari usia
kanak-kanak hinggalah dewasa termasuk golongan warga emas. Di Malaysia, model
pusat pengajian agama seperti ini banyak terdapat di negeri-negeri pantai timur
dan utara semenanjung Malaysia.
Mengambil
model institusi pondok ini, sebuah madrasah dikenali sebagai Madrasah Ibnu
Mas’ud telah diwujudkan di daerah Segamat, Johor dengan tiga teras utama
perkhidmatan. Pertama ialah Pondok Warga Emas untuk golongan warga emas, kedua
Pusat Tahfiz untuk pengajian hafazan Al-Quran peringkat kanak-kanak dan ketiga
Pusat Pengajian Umum untuk pembelajaran ilmu agama golongan dewasa. Kajian ini
akan memberi fokus kepada cabang Pondok Warga Emas untuk menjawab persoalan
sama ada suasana
dan aktiviti di institusi ini membantu golongan warga emas mengecapi hidup yang
berkualiti di penghujung usia mereka.
METODOLOGI KAJIAN
Kajian
ini adalah kajian kualitatif yang menggunakan reka bentuk kajian kes. Pondok
Warga Emas Madrasah Ibnu Mas’ud dipilih menerusi kaedah persampelan bertujuan
iaitu sebagai institusi yang berkhidmat menawarkan pengajian kepada golongan
warga emas. Data kajian dikumpul melalui kaedah pemerhatian. Pengkaji melakukan
pemerhatian bermula pada tahun 2011 sehingga tahun 2018 selaku pengasas dan
pengurus Madrasah Ibnu Mas’ud.
PROFIL PONDOK; TERCETUSNYA IDEA
Pertubuhan Kebajikan Dan Dakwah Ibnu Mas’ud merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar dengan pendaftar pertubuhan di bawah Akta Pertubuhan 1966. Pertubuhan ini didaftarkan pada 14 Jun 2010 dengan nombor pendaftaran 1449-10-JHR. Pada peringkat awalnya, pertubuhan ini dinaungi oleh sebuah lembaga penasihat yang terdiri daripada Datuk Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri (bekas pensyarah USIM), Ustaz Ahmad Fadzli Al-Yamani (pengasas Madrasah Al-Yamani Kuala Lumpur), Dr Mohd Nidzam Abdul Kadir (bekas pensyarah UIAM) dan As-Syeikh Mustafa Omar (bekas Kadi Daerah Batu Pahat). Ahli jawatankuasa pertubuhan pula terdiri daripada ahli keluarga Haji Masod Bin Haji Rais yang dipengerusikan oleh pengasas pertubuhan iaitu Haji Arasy Bin Haji Masod. Tujuan utama pertubuhan ini ialah ingin mewujudkan satu institusi pendidikan Islam yang menyasarkan semua golongan masyarakat terutamanya golongan dewasa dan warga emas. Idea tersebut terinspirasi daripada kejayaan Yayasan Al-Jenderami menubuhkan Pondok Al-Jenderami di Dengkil, Selangor yang menarik minat golongan warga emas menuntut ilmu di tempat mereka (Abd. Majid, Abu Bakar, Ismail, & Abd. Razak, 2017). Memikirkan tiada lagi pusat pengajian seumpamanya di selatan tanah air, pihak pertubuhan komited untuk berusaha mewujudkan pusat seumpamanya di Johor.
Aktiviti
pertubuhan bermula dengan menganjurkan kelas-kelas agama dengan menyewa rumah
kedai di Pekan Parit Bakar, Muar sekitar tahun 2010 hingga 2011. Pemilihan
lokasi di daerah Muar adalah kerana cadangan awal tapak madrasah adalah di
Kampung Parit Pinang Seribu, Muar. Pertubuhan ini kemudiannya telah mendapat
sebidang tanah yang diwakafkan oleh keluarga Haji Muhammad Bin Jantan dan
keluarga Haji Abd Razak di Kampung Tasek Alai, Gemereh, Segamat. Disebabkan
lokasi yang sangat strategik di tepi jalan besar, pihak pertubuhan bersetuju
memindahkan lokasi madrasah ke Segamat dan telah mula membina sebuah surau
untuk aktiviti pengajian pada bulan ramadan 1432 Hijrah. Kemudiannya lapan unit
pondok sebagai asrama warga emas telah dibina di atas tanah wakaf tersebut.
Madrasah ini diberi nama Madrasah Ibnu Mas’ud dan telah memulakan operasinya
pada 17 September 2011.
Seiring
dengan berkembangnya aktiviti pertubuhan, ahli jawatankuasa pertubuhan telah
dirombak daripada berasaskan keluarga kepada penglibatan orang luar. Golongan
professional seperti doktor, peguam, jurutera, pensyarah, ahli perniagaan dan
beberapa profesyen lain turut dilantik menganggotai jawatankuasa. Kepelbagaian
ini memberi peluang kepada semua untuk menyumbangkan kepakaran masing-masing
dalam membangunkan madrasah secara percuma dan sukarela. Langkah ini juga
diambil kerana melihat banyak institusi pondok tradisional yang tidak bertahan
lama apabila tiada pewaris yang layak untuk mewarisi peninggalan tuan-tuan
guru.
PONDOK WARGA EMAS
Antara syarat utama penerimaan kemasukkan warga emas di Pondok Warga Emas Madrasah Ibnu Mas’ud seperti juga di pondok-pondok lain ialah mereka masuk atas keinginan dan kerelaan sendiri untuk menimba ilmu dan beribadah (Shaffie, 2001) serta syarat kedua, boleh menguruskan diri sendiri. Syarat pertama dikenakan kerana ada segelintir waris yang menghantar warga emas ke pondok kerana tidak mahu menjaga mereka. Sikap seperti ini tidak boleh ditoleransi oleh setiap ahli masyarakat kerana ia akan mengikis nilai prihatin, tanggungjawab dan kasih-sayang dalam masyarakat (Nayan, 2006). Selain itu, kes seperti ini akan menimbulkan masalah apabila warga emas akan merasa terpaksa untuk menjalani aktiviti-aktiviti kerohanian yang dianjurkan selain daripada pengabaian waris yang biasanya akan membiarkan warga emas dengan mengharapkan jagaan sepenuhnya oleh pihak pengurusan madrasah. Syarat kedua berkaitan kemampuan mengurus diri sendiri pula mengambil kira madrasah tidak menyediakan kemudahan penjagaan seperti pusat jagaan orang-orang tua sedia ada dan madrasah sentiasa menegaskan peranan madrasah selaku pusat pengajian.
Cabaran
di peringkat awal operasi ialah kurangnya sambutan untuk menghuni di pondok
warga emas kerana kurangnya promosi dan usia pondok yang masih terlalu baru.
Bermula dengan hanya dua orang penghuni, pihak madrasah bercadang menutup
dahulu operasi sehingga ada pertambahan penghuni tetapi dihalang oleh dua orang
penghuni tersebut. Salah seorangnya, Hajah Salabiah Binti Ahmad yang berasal
dari Felda Palong Timur 1, Segamat, merayu agar jangan menghantar beliau pulang
dan jangan tutup pondok kerana beliau ingin sangat terus duduk dan belajar
Al-Quran dan belajar agama di pondok. Atas semangat beliau inilah operasi
pondok diteruskan walaupun hanya dengan dua orang penghuni.
Penghuni
pondok warga emas terdiri daripada ibu-ibu tunggal dengan yang paling muda
berusia 53 tahun dan yang paling tua berusia 80 tahun. Jumlah penghuni pondok
semakin bertambah setiap tahun. Dengan jumlah 37 pintu pondok warga emas yang
boleh memuatkan kapasiti 50 orang penghuni, kini jumlah penghuni telah mencecah
42 orang. Peningkatan penghuni mengikut tahun boleh dirujuk dalam jadual jumlah
penghuni di bawah.
Tahun
|
Jumlah
Penghuni |
2011-2013 |
16 orang |
2013-2015 |
25 orang |
2015-2017 |
33 orang |
2017-2018 |
42 orang |
Jadual jumlah penghuni.
PEMBANGUNAN FIZIKAL MADRASAH
Madrasah Ibnu Mas’ud digerakkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak berorientasikan keuntungan. Dana pembangunan adalah sumbangan derma sepenuhnya daripada para dermawan. Antara kemudahan yang ada di madrasah ialah sebuah surau dua tingkat dengan keluasan 80 x 60 kaki persegi, sebuah pejabat urusan, sebuah kantin, sebuah bilik mesyuarat, sebuah bilik guru dan 4 blok bangunan asrama penginapan atau dikenali sebagai pondok. Kemudahan-kemudahan yang membantu untuk memudahkan penghuni warga emas beribadah sangat penting dan menjadi antara faktor mereka memilih Madrasah Ibnu Mas’ud sebagai destinasi mereka (Abu Bakar, Abd Majid, Abdul Razak, & Ismail, 2016).
Pondok
penginapan warga emas ini berkeluasan sekitar 16 x 20 kaki persegi yang sangat
selesa untuk memuatkan dua orang penghuni. Pondok juga dilengkapi bilik air,
bahagian dapur untuk memasak dan ruang tamu untuk berehat. Kemudahan pondok
yang selesa, indah dan selamat sangat dititikberatkan untuk mewujudkan suasana
yang gembira kepada para penghuni warga emas untuk belajar dan tinggal di
pondok.
PENGISIAN PENGAJIAN
Lebih penting daripada pembangunan fizikal ialah pembangunan rohani yang menjadi tunjang utama operasi Madrasah Ibnu Mas’ud. Jadual penghuni pondok warga emas bermula awal pagi apabila mereka dijadualkan untuk bangun qiamullail. Ibadah sunat ini boleh dilakukan di pondok masing-masing atau di surau. Seminggu sekali akan diadakan qiamullail perdana dengan imam jemputan dari luar untuk memimpin para penghuni pondok bermunajat. Kelas Al-Quran akan bermula pada waktu duha dan setiap warga emas akan belajar dan memperbaiki bacaan Al-Quran mereka bersama para ustazah. Kelas Al-Quran sangat diminati oleh para penghuni kerana inilah antara tujuan utama mereka duduk di pondok iaitu ingin belajar membaca Al-Quran.
Seterusnya,
pada jam sebelas pagi, mereka akan mengikuti kelas agama yang dikenali sebagai
Kelas Jam Sebelas. Kelas ini banyak membicarakan perkara-perkara fardu ain
merangkumi asas-asas akidah, fekah ibadah, hadis dan tasauf. Antara kitab yang
dijadikan rujukan ialah Kitab Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, Kitab Munyatul
Musolli, Kitab Hadis Empat Puluh Imam Nawawi, dan Kitab Penawar Bagi Hati.
Kelas Jam Sebelas ini akan dihadiri juga oleh para penuntut dari sekitar
Segamat yang menjadikan suasana madrasah lebih meriah dengan ada yang mengambil
kesempatan untuk berniaga.
Kuliah
agama seterusnya ialah selepas solat Isyak yang dikenali sebagai kuliah umum.
Kuliah umum ini lebih melebar perbahasannya kerana tidak hanya membincangkan
bab fardu ain. Pelbagai cabang lain dibahaskan seperti ilmu fekah muamalat,
faraid, tafsir Al-Quran, hadis, sirah nabawiah dan lain-lain lagi. Antara kitab
yang digunakan ialah Tafsir Ibnu Kasir, Al-Azkar An-Nawawi, Ar-Rahiq Makhtum,
Fatawa Muasirah, Kabair Az-Zahabi dan lain-lain lagi. Tujuannya supaya golongan
warga emas ini lebih terbuka kepada keluasan perbincangan ilmu dalam Islam dan
tidak hanya memfokuskan kepada perkara fardu ain yang telah dipelajari sejak
kecil. Di setiap akhir kuliah, pasti akan ada yang bertanya sekiranya ustaz
yang mengajar membuka ruang untuk soal-jawab. Ini menunjukkan bahawa walaupun
perbahasan kuliah agak tinggi, tetapi masih dapat menarik minat para penuntut
warga emas ini.
Selain
daripada aktiviti rutin kelas Al-Quran, kelas fardu ain, kuliah umum, amalan
zikir dan qiamullail, pihak madrasah turut menganjurkan majlis-majlis sempena
hari kebesaran Islam seperti sambutan maulidurrasul dalam bentuk karnival.
Pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti pemeriksaan kesihatan, pameran-pameran
dan gerai-gerai jualan turut diadakan. Tidak ketinggalan juga aktiviti kesenian
Islam untuk mempelbagaikan lagi program dakwah bagi meraikan minat dan
kecenderungan individu.
Antara
yang paling istimewa ialah ketika bulan ramadan. Madrasah mengambil konsep
jadual beribadah di tanah suci untuk memanfaatkan bulan ibadah tersebut. Solat
sunat tarawih 20 rakaat dan qiamullail berjemaah akan diadakan setiap malam
dengan imam jemputan daripada luar negara. Daurah kitab dan tadarus juga
diadakan pada sebelah siang menjadikan jadual para penghuni benar-benar padat.
Keseronokkan mereka sehingga ada yang tidak mahu balik untuk bercuti hari raya
bersama keluarga. Ada yang akan menunggu selepas solat hari raya baru mereka
akan pulang untuk menyambut syawal bersama keluarga.
MENERAJUI KEHIDUPAN YANG BERKUALITI
Kualiti hidup yang baik bergantung kepada beberapa faktor termasuklah etnik, pendidikan, pendapatan, tempat tinggal, aktiviti fisikal dan kesihatan (Siop, 2008). Dalam mengharungi usia yang lanjut, selain aspek fizikal, kesihatan tubuh badan dan kewangan, faktor emosi dan spiritual juga sangat penting untuk diambil berat. Melalui pemerhatian kajian ini, penghuni pondok didapati mengecapi kualiti kehidupan yang baik melalui suasana kehidupan yang bermotivasi, perasaan selamat dan tenteram, ikatan kekeluargaan yang sentiasa utuh, perhubungan sosial yang sihat dan aktiviti santai yang mendorong warga emas untuk kekal aktif.
Motivasi Kehidupan
Hidup
di penghujung usia menyebabkan segelintir warga emas merasa putus harap dan bosan
untuk meneruskan kehidupan sehinggakan ada yang sensitif apabila dikaitkan
dengan perkataan ‘tua’ dan lebih selesa digelar warga emas, senior atau veteran
(Syed Ali, 2012).
Pondok
Warga Emas Madrasah Ibnu Mas’ud hadir dalam membantu para penghuninya untuk
terus bermotivasi memaksimakan baki usia mereka. Setelah berpenat-lelah
membesarkan anak-anak, baki modal usia inilah yang perlu dimanfaatkan sebaiknya
supaya mereka dapat menyediakan bekalan untuk kehidupan mereka yang kekal di
alam akhirat. Ada penghuni yang berpendapat beliau sudah cukup memberi
pendidikan kepada anak-anak, sekarang masa untuk beliau gunakan sebaiknya untuk
diri beliau sendiri (Siren, 2015).
Semakin mereka belajar, semakin banyak ilmu yang mereka dapat dan semakin
banyak rupanya amalan yang perlu mereka buat. Ada di antara mereka yang
menggunakan peluang di pondok untuk melunaskan hutang-hutang mereka dengan Yang
Maha Pencipta seperti solat-solat fardu dan puasa-puasa fardu yang ditinggalkan
ketika muda. Semua ini memotivasikan mereka untuk terus menjalani kehidupan
dengan lebih baik lagi.
Selain
itu, aktiviti pengajian yang diikuti juga adalah selaras dengan salah satu
strategi Dasar Warga Emas Negara iaitu ‘Pembelajaran Sepanjang Hayat’ yang
boleh membangunkan dan memaksimakan potensi diri mereka walaupun di penghujung
usia (N. Ibrahim et al., 2011)
Rasa Selamat
Majoriti
dari kalangan penghuni pondok merupakan warga emas yang tinggal bersendirian di
rumah sebelum mereka menghuni pondok atas faktor anak-anak yang tinggal dan
bekerja di tempat lain. Ada yang datang dari kampung tradisional, penempatan
felda dan taman perumahan. Apabila menghuni pondok, golongan warga emas ini
merasa selamat kerana kawasan madrasah yang berpagar dan pondok-pondok yang
berdekatan antara satu sama lain. Selain itu, kawasan madrasah juga sentiasa
meriah dengan kehadiran jemaah dari luar yang menyertai kelas-kelas pengajian
yang dianjurkan. Untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan, madrasah juga
bekerjasama dengan pasukan keselamatan yang membuat rondaan berkala melalui
kereta peronda mereka. Ini adalah selaras dengan strategi yang digariskan dalam
Dasar Warga Emas Negara yang menekankan isu keselamatan dan perlindungan kepada
warga emas (N. Ibrahim et al., 2011)
Ikatan Kekeluargaan
Hubungan
kekeluargaan pastinya tidak akan berkurang walaupun si ibu tinggal jauh dari
anak-anak dan ahli keluarga. Norma masyarakat kita menganggap menjaga ibu bapa
adalah menjadi tanggungjawab anak-anak (Nawi, Voo, & Kiyah, 2016)
sehingga ada yang memadang sinis anak- anak yang menghantar ibu bapa mereka ke
pondok seolah-olah mereka mengelak daripada menjaga ibu bapa mereka (Sooryanarayana, Wan Yuen, & Hairi, 2017).
Realitinya hubungan kekeluargaan tetap utuh walaupun ibu bapa mereka tidak
tinggal bersama. Pihak madrasah sangat menekankan kepentingan anak-anak
berkhidmat kepada ibu mereka walaupun ibu mereka tinggal di pondok. Waris bebas
untuk menziarahi ibu mereka pada bila-bila masa dengan pelbagai kemudahan yang
disediakan seperti pondok-pondok rehat untuk mereka makan atau rehat bersama
bagi warga emas yang duduk pondok berkongsi dengan rakan. Bagi warga emas yang
duduk berseorangan sebilik, waris dibenarkan masuk ke pondok dengan syarat
menjaga keharmonian dan tidak mengganggu jiran berhampiran. Selain itu, pihak
madrasah turut menyediakan kemudahan bilik inap bagi waris yang berhajat
bermalam di madrasah dan bersama-sama menghadiri kuliah-kuliah dan aktiviti
kerohanian yang dijalankan di madrasah seperti berqiamullail. Ada juga waris
yang beraya di madrasah bersama ibu mereka terutama semasa Hari Raya Korban
untuk turut sama-sama merasai kemeriahan sambutan di madrasah. Ini membuktikan
bahawa ahli keluarga terutamanya anak-anak adalah ‘teras sokongan’ kasih sayang
terhadap golongan warga emas (Md Nor & Ghazali, 2016)
walaupun mereka hidup dalam kalangan komuniti mereka di pondok.
Perhubungan Sosial
Untuk
menjamin kehidupan warga emas yang ceria dan sejahtera, hubungan sosial
memainkan peranan yang penting (Wan Ahmad, 1994). Berkawan
pastinya sangat penting untuk menjaga motivasi warga emas dan mengelakkan
kesepian. Sehingga kini, bilangan penghuni pondok berjumlah 42 orang. Mereka
terdiri dari pelbagai latarbelakang pendidikan dan kerjaya sebelum ini. Malah
ada juga yang merupakan warganegara jiran yang datang dari Singapura. Komuniti
kecil ini ditambah pula dengan kehadiran rakan-rakan sekitar daerah Segamat
yang hadir mengikuti kuliah-kuliah agama bersama-sama mereka setiap hari
sekitar 100 orang jemaah. Kepelbagaian ini memberi ruang kepada para penghuni
pondok untuk membina perhubungan persahabatan sesama mereka. Kehidupan di
pondok dapat mencegah mereka daripada kemurungan sekiranya duduk bersendirian
tanpa teman seperti yang banyak berlaku dalam masyarakat.
Aktiviti Santai
Walaupun
aktiviti-aktiviti di pondok sangat padat, namun pihak pengurusan tidak pernah
memaksa para penghuni untuk menyertai semua aktiviti. Kelonggaran diberikan
kepada para penghuni yang mengalami masalah kesihatan atau keletihan. Mereka
hanya perlu menyertai aktiviti mengikut kadar kemampuan mereka. Selain itu,
pihak pengurusan juga menganjurkan aktiviti-aktiviti yang bersifat santai untuk
mengisi masa senggang para penghuni pondok seperti aktiviti bercucuk tanam di
persekitaran pondok. Ada juga dianjurkan pertandingan-pertandingan seperti
pertandingan kebersihan dan keceriaan antara pondok, pertandingan gubahan bunga
dan pertandingan memasak. Para penghuni juga dibawa untuk lawatan ke
tempat-tempat menarik selain menziarahi pondok-pondok warga emas yang lain
untuk melihat bagaimana pondok-pondok lain yang ada di dalam negara ini
beroperasi. Aktiviti-aktiviti ini adalah bagi menyahut saranan Perdana Menteri
Malaysia, Tun Mahathir Mohamad supaya warga emas kekal aktif untuk bukan sahaja
menjamin kesihatan fizikal malah kesihatan minda (A. Ibrahim, 2018).
KONKLUSI DAN PENUTUP
Daripada kajian ini, dapat disimpulkan bahawa Pondok Warga Emas Madrasah Ibnu Mas’ud ini telah dapat memenuhi keperluan emosi dan spiritual penghuni warga emasnya untuk mengecapi kehidupan yang lebih berkualiti di usia emas mereka. Pondok berjaya mewujudkan suasana kehidupan yang bermotivasi, perasaan selamat dan tenteram, ikatan kekeluargaan yang sentiasa utuh, perhubungan sosial yang sihat dan aktiviti santai yang mendorong warga emas untuk kekal aktif. Oleh yang demikian, masyarakat dan kerajaan perlu memberikan sokongan terutamanya dari sudut kewangan dan latihan kepada intitusi-intitusi seperti ini supaya boleh terus berkembang untuk memberi khidmat kepada golongan warga emas di Malaysia.
RUJUKAN
Abbas, M. Y., & Saruwono, M. (2012). Our “ Golden ” Citizens with “ Golden ” Facilities ? Procedia - Social and Behavioral Sciences, 49, 127–146. http://doi.org/10.1016/j.sbspro.2012.07.012
Abd. Majid, M., Abu Bakar, S., Ismail, S., & Abd. Razak,
Z. (2017). Program Pendidikan Warga Emas di Institusi Pondok Al-Jenderami
Negeri Selangor. Jurnal Hal Ehwal Islam Dan Warisan Selangor, 1(1).
Abu Bakar, S., Abd Majid, M., Abdul Razak, A. Z., &
Ismail, S. (2016). Faktor Pemilihan Pondok oleh Warga Emas: Kajian di Pondok
Yayasan Al-Jenderami, Selangor dan Pondok Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah Lubuk
Tapah, Kelantan. JURNAL PENGAJIAN ISLAM, 9(II), 1–23.
Bernama. (2018, February 2). Populasi warga tua dijangka
meningkat kepada 5.6 juta menjelang 2030. Astro Awani. Retrieved from
http://www.astroawani.com/berita-malaysia/populasi-warga-tua-dijangka-meningkat-kepada-5-6-juta-menjelang-2030-167161
Ibrahim, A. (2018). PM Ingatkan Warga Emas Kekal Aktif. Utusan
Online.
Ibrahim, N., Mat Saad, Z., & Ahmad Ramly, F. Z. (2011).
Keberkesanan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di bawah Dasar Warga Emas Negara.
Jurnal Pembangunan Sosial, 19(3), 87–100.
Md Nor, N. N. F., & Ghazali, S. (2016). Peranan Anak
Lelaki Sebagai Penjaga Utama Warga Tua Melayu di Luar Peranan Anak Lelaki
Sebagai Penjaga Utama Warga Tua Melayu di Luar Bandar : Kajian Kes di Daerah
Jerantut , Pahang. Geografi, 4(1), 25–34.
Mohamad Rawi, M., Baharudin, H., Lubis, M. A., & Romli,
S. A. (2015). Institusi Pondok dalam Sistem Pendidikan Islam di Malaysia. Proceeding
the 7th International Workshop and Conference of Asean Studies on Islamic and
Arabic Education and Civilization (Poltan-Ukm-Polimed), (May), 1–15.
http://doi.org/10.1186/s12864-018-5094-y
Nawi, N. H. binti, Voo, P. H. M. A. M. D. A. M. G. C. H. I.
P., & Kiyah, W. (2016). Intergenerasi, Sokongan Psikologi dan Sosial
Penjagaan Warga Tua dalam Pelbagai Etnik di Sabah. Southeast Asia
Pscychology Journal, 4, 24–34.
Nayan, S. (2006). Keprihatinan yang Luntur Terhadap Warga
Emas. Jurnal Intelek.
Shaffie, F. (2001). Institusi Pondok di Malaysia Satu Sorotan
dari Perspektif Sejarah. Jurnal Pembangunan Sosial, 2, 116–132.
Siop, S. A. J. (2008). Disability and Quality of Life of
Non-Institutionalized Older Malaysians. Universiti Putra Malaysia.
Siren, N. R. (2015). Psikologi dan Penerimaan Warga Emas di
Kompleks Warga Emas al-Jenderami. Jurnal Usuludin, 41, 73–93.
Sooryanarayana, R., Wan Yuen, C., & Hairi, N. N. (2017).
Alone and Lonely: A Case Report on Elder Abuse in Malaysia. Journal of the
American Medical Directors Association.
http://doi.org/10.1016/j.jamda.2017.01.018
Syed Ali, S. R. (2012). Pengaruh Faktor Peribadi, Sokongan
Sosial, Tahap Kesihatan dan Agama Ke Atas Warga Tua Produktif. Universiti
Utara Malaysia.
Wan Ahmad, W. I. (1994). Hubungan Sosial , Sokongan , Dan
Kesejahteraan Warga Tua: Satu Kajian di Pedesaan KelantanWan Ibrahim Bin Wan
Ahmad.
13 Ulasan
Salam..sy nk tnya ..boleh x suami istri tgl disana..untuk belajar
BalasPadamhanya utk warga emas je ke? klu golongan muda nak pergi belajar sahaja x boleh ke?
BalasPadam
BalasPadamSaya nk tahu berapa bayaran bulan kalau satu pondok saorang dn klu dua orang berapa bayaran
Assalamualaikum, saya nak bertanya macam mana nak daftar
BalasPadamAssalamualaikom...say berumur 53 tahun....bole.kah sya mndaftar..sya da.laken jb.. klau bole.bagaimana caranya
BalasPadamAssalamualaikum. Saya berhajat untuk menuntut ilmu di pengajian pondok selepas saya berpencen. Umur saya 55 tahun; Adakah madrasah ini menerima warga pencen yang ingin belajar dan adakah penempatan untuk warga pencen di madrasah ini?Sekian, terima kasih.
BalasPadamAssalamualaikum..saya sedang mencari kelas agama untuk menambah ilmu akhirat yang lebih mendalam Insha Allah.. yang boleh tinggal sepenuhnya di Madrasah.bagaimana cara untuk saya memohon madrasah ini?
BalasPadamTma ksh
Assalamualaikum saya dr Johor bagaimana cara untuk saya mendaftar dan terus tinggal dimadrasah ini terima kasih
BalasPadamMacamana nak daftar
BalasPadamO13 777 2907
Bagaimana cara utk daftar start Dan bayaran..jazakallah
BalasPadamAssalammualaikum
BalasPadamSaya berumur 50thun suriumahtangga saya ingin sekali menetap di Madarasah Tuan...Saya dri segamat...
Dlm tahun ni mcm2 dugaan saya trima dan saya agak rasa kosong bila saya diumah....saya ingin mncri kedamaian dlm Agama dan mempelajari agama lebih dalam lgi...ade kah saya boleh mendaftar di Madarsah Tuan
Assalamualaikum. Saya berhajat untuk merasa tinggal dan belajar ilmu agama di sini. Bagaimanakah caranya untuk saya dpt masuk di pondok ini.
BalasPadamAssalamualaikum..
BalasPadamSays berminat untuk belajar mendalami ilmu agama di pondok ini
Berapakah bayaran untuk belajar Dan tinggal dan di pondok ini.
Cara pembayaran adakah setiap bulan atau sekali gus