Tujuan Mahallah Uzlah (asrama ibu tunggal, wanita dewasa & warga emas) ditubuhkan adalah untuk menyediakan tempat tinggal yang selesa dan kondusif bagi penghuninya dalam menuntut ilmu agama di samping beramal dengan ilmu yang telah dipelajari. Mahallah ini tidak ubah seperti sebuah asrama tetapi lebih eksklusif kerana hanya menempatkan tiga penghuni bagi setiap bilik. Mungkin ia antara asrama wanita dan warga emas pertama yang didirikan secara professional dan teratur untuk golongan wanita tua mempelajari ilmu agama di negeri Johor ini.

Mahallah ini bukanlah pusat jagaan , tetapi seumpama pusat pengajian secara tradisional ala-pondok yang moden (Pengajian agama menggunakan pelbagai kitab thuras dan kontemporari) yang dihuni oleh mereka yang ingin belajar ilmu agama dan memberi tumpuan beramal.

Oleh yang demikian anak-anak akan menghantar ibunya ke sini untuk menuntut ilmu agama serta secara istiqomah mengamalkan ilmu yang dipelajari. Ia merupakan tanda kasih sayang terhadap ibu dengan menyediakan suasana yang kondusif dan peluang untuk ibunya beribadah tanpa sebarang gangguan bagi persiapan hari akhirat. Pihak pengurusan Mahallah Uzlah menegaskan bahawa asrama wanita & warga emas ini bukannya pusat jagaan orang-orang tua kerana ia mempunyai syarat tersendiri untuk mereka menetap di sini. Bagi mereka yang sakit kronik tidak akan dibenarkan menetap di asrama wanita & warga emas ini.

Jadi, tanggapan masyarakat perlu diubah kerana asrama wanita & warga emas ini merupakan wadah bagi kaum ibu untuk menambah ilmu agama kerana ada yang tidak tahu membaca al-Quran seumur hidupnya, maka, persiapan menuju ke alam barzah (kematian) perlulah disediakan dengan amalan seperti membaca al-Quran, sembahyang berjemaah dan mengaji fardhu ain iaitu pelajaran Tauhid, Fekah dan Tasawuf.

Syarat yang dikenakan oleh pihak pengurusan terhadap penghuni asrama wanita & warga emas antaranya ialah WANITA DEWASA / WARGA EMAS / IBU TUNGGAL yang sihat tubuh badan di mana setiap penghuni yang ingin tinggal di asrama hendaklah sihat dalam erti kata tidak memerlukan rawatan intensif atau mengalami keuzuran untuk berjalan.
Bayaran yang dikenakan kepada penghuni Mahallah Uzlah adalah bagi menampung kos air, eletrik, pengangkutan sampah dan penyelenggaran harian. Untuk mendapatkan barang keperluan harian, pihak pengurusan akan membawa para penghuni ke kedai yang berhampiran sementara menunggu koperasi Kompleks Pengajian Islam Ibnu Mas’ud beroperasi.

Pihak pengurusan sentiasa mengambil berat akan golongan warga emas ini dalam menjalani kehidupan seharian mereka. Dari aspek kesihatan pihak pengurusan amat mengambil berat seperti membawa mereka ke klinik dengan segera atas tanggungan biaya perubatan oleh penghuni sendiri. Kebanyakan warga emas menghadapi masalah kesihatan seperti penyakit kencing manis, darah tinggi dan lemah jantung. Oleh yang demikian mereka hendaklah mementingkan pemakanan yang sihat. Mereka akan memasak sendiri supaya sesuai dengan selera dan keperluan mereka.

Selain itu pakaian diuruskan oleh penghuni sendiri dan insyaallah perkhidmatan mesin basuh juga disediakan.

Ini tidak bermakna dengan menetap di sini menyebabkan hubungan antara ibu dan anak-anak akan renggang atau terputus. Malah anak-anak mereka yang terdiri dari berbagai golongan masyarakat dianjur dan digalakkan menziarahi ibu mereka setiap minggu dan sentiasa mengambil berat akan kebajikan ibu-ibu mereka. Tanggungjawab seorang anak kepada ibunya tetap perlu ditekankan dan tidak seharusnya anak-anak bersikap ‘lepas tangan’ dalam urusan kebajikan.

Dengan menyediakan kemudahan Mahallah ini, para ibu-ibu ini akan merasa lebih khusyuk menimba ilmu kerana suasana dan keadaan masyarakat yang mementingkan sifat tolong-menolong serta banyak program pengajian yang diadakan sesuai dengan peringkat umur mereka. Keakraban yang bakal terjalin di antara penghuni dianggap sebagai satu keluarga kerana jika ada mereka yang sakit atau sebagainya, pihak pengurusan akan membantu mengikut kemampuan yang ada. Sekiranya ada yang meninggal dunia, pihak pengurusan akan membantu waris menguruskan jenazah mereka semampu mungkin.

Para ibu-ibu ini telah mengorbankan hampir keseluruhan kesenangan hidup mereka untuk mendidik anak-anak. Anak- anak perlu membalas jasa ibu-ibu mereka yang terlalu tinggi nilainya. Tidak ada yang lebih bermakna bagi para ibu-ibu kita ini melainkan dari dapat menghabiskan hujung hayat dengan beramal soleh tanpa ‘gangguan-gangguan yang tidak perlu’ seperti terlalu sibuk dengan urusan duniawi dan dari memikirkan masalah-masalah semasa yang sepatutnya ditangani oleh generasi yang lebih muda. Mudah-mudahan kewujudan Mahallah ini menjadi wasilah bagi generasi muda dan masyarakat bagi memikirkan serta benar-benar menghargai sumbangan bernilai para ibu-ibu kita ini.

Semoga mereka dapat menumpukan akhir hayat mereka dengan beribadat dengan secara istiqomah (berterusan dan konsisten) dan dengan penuh khusyuk. Insyallah moga-moga usaha kebajikan yang murni ini mendapat keredhaan dan limpahan kurnia rahmat dari Allah swt.

Adalah menjadi harapan Mahallah Uzlah di Kompleks Pengajian Islam Ibnu Mas’ud ini akan membantu mewujudkan masyarakat penyayang dan prihatin terhadap warga emas dan membantu kerajaan dalam melaksanakan Dasar Warga Emas Negara yang dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat :

“MEWUJUDKAN MASYARAKAT WARGA EMAS YANG SEJAHTERA, BERMARUAH, MEMPUNYAI MARTABAT DlRI YANG TINGGI, DENGAN MENGOPTIMUMKAN POTENSI DlRI MEREKA DAN MENENTUKAN MEREKA MENIKMATI SEMUA PELUANG DlSAMPING MENDAPAT PENJAGAAN DAN PERLINDUNGAN SEBAGAI AHLI KELUARGA, MASYARAKAT DAN NEGARA”.

SYARAT KEMASUKAN:
-WANITA DEWASA / WARGA EMAS / IBU TUNGGAL
-SIHAT TUBUH BADAN (TANPA SAKIT KRONIK)
-MENDAPAT KEBENARAN WARIS
-BERTUJUAN UNTUK MENUNTUT ILMU & BERAMAL
-BERKEMAMPUAN (PENEGASAN BAHAWA INI BUKAN PUSAT JAGAAN)

PERKARA TEKNIKAL:
-BAYARAN BULANAN RM150 (DEPOSIT SEBULAN)
-BERKONGSI BILIK 3 ORANG
-MESIN BASUH DISEDIAKAN
-BARANG BERHARGA TIDAK DIGALAKKAN DAN KESELAMATAN BARANG ATAS TANGGUNGJAWAB SENDIRI
-RAWATAN DI HOSPITAL @ KLINIK SWASTA ATAS TANGGUNGAN SENDIRI

ANTARA AKTIVITI DI MADRASAH IBNU MAS’UD (FLEKSIBEL MENGIKUT KEMAMPUAN INDIVIDU)
-Qiamullail
-Kuliah Pengajian Berkitab
-Bacaan Zikir & Tazkirah
-Kelas Fardu Ain & Kelas Al-Quran
-Dan pelbagai lagi aktiviti yang bersesuaian dengan peringkat umur

UNTUK TEMPAHAN DAN KEMASUKAN HUBUNGI PIHAK MADRASAH :
017-777 2730 (EN ARASY)
019-708 3143 (PN AZIZAH)