Selasa, 28 Oktober 2014

PONDOK WARGA EMAS IBNU MAS'UD




Pondok warga emas Ibnu Mas'ud ditubuhkan adalah untuk menyediakan tempat tinggal yang selesa dan kondusif bagi penghuninya dalam menuntut ilmu agama di samping beramal dengan ilmu yang telah dipelajari. Ia tidak ubah seperti sebuah asrama tetapi lebih eksklusif kerana hanya menempatkan dua penghuni bagi setiap bilik. Mungkin ia antara asrama warga emas pertama yang didirikan secara professional dan teratur untuk golongan wanita tua mempelajari ilmu agama di negeri Johor ini.

Pondok ini bukanlah pusat jagaan , tetapi pusat pengajian secara tradisional ala-pondok yang moden (Pengajian agama menggunakan pelbagai kitab thuras dan kontemporari) yang dihuni oleh mereka yang ingin belajar ilmu agama dan memberi tumpuan beramal.

Oleh yang demikian anak-anak akan menghantar ibunya ke sini untuk menuntut ilmu agama serta secara istiqomah mengamalkan ilmu yang dipelajari. Ia merupakan tanda kasih sayang terhadap ibu dengan menyediakan suasana yang kondusif dan peluang untuk ibunya beribadah tanpa sebarang gangguan bagi persiapan hari akhirat. Pihak pengurusan menegaskan bahawa pondok warga emas ini bukannya pusat jagaan orang-orang tua kerana ia mempunyai syarat tersendiri untuk mereka menetap di sini. Bagi mereka yang sakit kronik tidak akan dibenarkan menetap di pondok warga emas ini.

Jadi, tanggapan masyarakat perlu diubah kerana pondok warga emas ini merupakan wadah bagi kaum ibu untuk menambah ilmu agama kerana ada yang tidak tahu membaca al-Quran seumur hidupnya, maka, persiapan menuju ke alam barzah (kematian) perlulah disediakan dengan amalan seperti membaca al-Quran, sembahyang berjemaah dan mengaji fardhu ain iaitu pelajaran Tauhid, Fekah dan Tasawuf.

Syarat yang dikenakan oleh pihak pengurusan terhadap penghuni pondok warga emas antaranya ialah sihat tubuh badan di mana setiap penghuni yang ingin tinggal di asrama hendaklah sihat dalam erti kata tidak memerlukan rawatan intensif atau mengalami keuzuran untuk berjalan. 
Bayaran yang dikenakan kepada penghuni adalah bagi menampung kos air, eletrik, pengangkutan sampah dan penyelenggaran harian.Selain itu pakaian diuruskan oleh penghuni sendiri dan insyaallah perkhidmatan mesin basuh juga disediakan.

Ini tidak bermakna dengan menetap di sini menyebabkan hubungan antara ibu dan anak-anak akan renggang atau terputus. Malah anak-anak mereka yang terdiri dari berbagai golongan masyarakat dianjur dan digalakkan menziarahi ibu mereka setiap minggu dan sentiasa mengambil berat akan kebajikan ibu-ibu mereka. Tanggungjawab seorang anak kepada ibunya tetap perlu ditekankan dan tidak seharusnya anak-anak bersikap ‘lepas tangan’ dalam urusan kebajikan.

Dengan menyediakan kemudahan ini, para ibu-ibu ini akan merasa lebih khusyuk menimba ilmu kerana suasana dan keadaan masyarakat yang mementingkan sifat tolong-menolong serta banyak program pengajian yang diadakan sesuai dengan peringkat umur mereka. Keakraban yang bakal terjalin di antara penghuni dianggap sebagai satu keluarga kerana jika ada mereka yang sakit atau sebagainya, pihak pengurusan akan membantu mengikut kemampuan yang ada. Sekiranya ada yang meninggal dunia, pihak pengurusan akan membantu waris menguruskan jenazah mereka semampu mungkin. 

Para ibu-ibu ini telah mengorbankan hampir keseluruhan kesenangan hidup mereka untuk mendidik anak-anak. Anak- anak perlu membalas jasa ibu-ibu mereka yang terlalu tinggi nilainya. Tidak ada yang lebih bermakna bagi para ibu-ibu kita ini melainkan dari dapat menghabiskan hujung hayat dengan beramal soleh tanpa ‘gangguan-gangguan yang tidak perlu’ seperti terlalu sibuk dengan urusan duniawi dan dari memikirkan masalah-masalah semasa yang sepatutnya ditangani oleh generasi yang lebih muda. Mudah-mudahan kewujudan Mahallah ini menjadi wasilah bagi generasi muda dan masyarakat bagi memikirkan serta benar-benar menghargai sumbangan bernilai para ibu-ibu kita ini.

Semoga mereka dapat menumpukan akhir hayat mereka dengan beribadat dengan secara istiqomah (berterusan dan konsisten) dan dengan penuh khusyuk. Insyallah moga-moga usaha kebajikan yang murni ini mendapat keredhaan dan limpahan kurnia rahmat dari Allah swt.

Adalah menjadi harapan Kompleks Pengajian Islam Ibnu Mas’ud ini akan membantu mewujudkan masyarakat penyayang dan prihatin terhadap warga emas dan membantu kerajaan dalam melaksanakan Dasar Warga Emas Negara yang dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat :

“MEWUJUDKAN MASYARAKAT WARGA EMAS YANG SEJAHTERA, BERMARUAH, MEMPUNYAI MARTABAT DlRI YANG TINGGI, DENGAN MENGOPTIMUMKAN POTENSI DlRI MEREKA DAN MENENTUKAN MEREKA MENIKMATI SEMUA PELUANG DlSAMPING MENDAPAT PENJAGAAN DAN PERLINDUNGAN SEBAGAI AHLI KELUARGA, MASYARAKAT DAN NEGARA”.

SYARAT KEMASUKAN:
-WARGA EMAS WANITA / IBU TUNGGAL
-SIHAT TUBUH BADAN (TANPA SAKIT KRONIK)
-MENDAPAT KEBENARAN WARIS
-BERTUJUAN UNTUK MENUNTUT ILMU & BERAMAL
-BERKEMAMPUAN (PENEGASAN BAHAWA INI BUKAN PUSAT JAGAAN)

HUBUNGI TN HJ ARASY DI TALIAN 017-7772730

Khamis, 2 Oktober 2014

PENGAMBILAN PELAJAR TAHFIZ 2015


PENGAMBILAN PELAJAR TAHFIZ SESI 2015

Unit Pusat Tahfiz Madrasah Ibnu Mas'ud

Syarat Kemasukan:
(i) Lelaki berumur 13 tahun
(ii) Min 3A UPSR/UPSRI
(iii) Boleh membaca al Qur'an dan Jawi dengan baik
(iv) Lulus temuduga


Hubungi 017 777 2730.

Dalam tempoh 3 tahun, pelajar dijadualkan untuk menyempurnakan hafazan 30 juzuk al Qur'an dan matan-matan asas:
(i) Tajwid - Matan Jazariyyah
(ii) Ilmu Mustolah - Matan al Baiquniyah
(iii) Aqidah - Matan Jauharatut Tauhid
(iv) Usul Fiqah: Matan al Waraqat
(v) Nahu: Matan al Ajurumiyah
(...) Sorof: Matan al Amtsilah at Tasyrifiyyah
(...) Fiqah: Matan al Ghoyatu wa Taqrib
(...) Hadith: Matan Arba'in Nawawiyah
(...) Bahasa Inggeris

Selepas 3 tahun, pelajar akan ditawarkan untuk menyambung pengajian ke peringkat 'Aliyyah. Dalam tempoh itu, pelajar akan dikelolakan untuk mengambil SPM dan STAM sebagai persediaan bagi melanjutkan pengajian di universiti dalam atau luar negara.

Bersama kita melahirkan generasi ulama yang akan menerangi ummah.