الحمد لله رب العالمين

"Segala puji hanya bagi Allah Tuhan seluruh Alam."

Kalimah 'Al-Hamdu' itu dari sudut makna bahasa Arab adalah pujian dengan keindahan atas sudut 'At-Ta'dzim Wat-Tabjil' (mengagungkan,memuliakan dan membesarkan) yang disertai dengan 'Mahabbah' (kasih-sayang) yang berlawanan maknanya dengan celaan. Dan makna dari sudut bahasa ini pula sebenarnya lebih umum daripada kalimah 'As-Syukru' (kesyukuran). Adapun kalimah 'Allah' itu menurut Al-Qurthubi: Nama ini lebih agung namanya berbanding nama-nama yang lain dan lebih menghimpunkan segala namaNya. Adalah merupakan nama yang hak dan mempunyai sifat-sifat 'Uluhiyyah' iaitu sifat ketuhanan yang disembah dengan menyeluruh serta disifatkan dengan sifat 'Ar-Rububiyyah' iaitu tuhan yang mentadbir, mengurus, menyusun, menguasai dan mengatur segala alam dan makhlukNya. Nama Allah ini adalah nama yang tersendiri dengan kewujudan sebenar-benar hakikat tiada Tuhan yang disembah melainkan Dia (Allah SWT). Kalimah 'Ar-Rabb' iaitu yang berbilang makna diantaranya raja, penguasa, pentadbir, pengislah, yang disembah, tuhan yang ditaati dan segala maksud yang berhubung dengan kekuasaan Allah SWT. Adapun kalimah 'Al-'Alamin' iaitu melengkapi kepada Manusia, Jin, Malaikat, para Syaitan, dan segala makhluk di langit, di bumi dan diantara keduanya. Dan kalimah ini diambil daripada 'Al-'Allamah' (tanda) iaitu kerana alam yang ada ini menunjukkan atas tanda kewujudan Maha pencipta Allah SWT. [Rujukan Sofwatut Tafasir jilid:1]

Setinggi-tinggi kesyukuran kami panjatkan kepada Allah SWT atas nikmat kurniaan dan bantuanNya. Setelah enam bulan merancang pembangunan madrasah dan mempersiapkan jawatankuasa pelaksana Ibnu Mas'ud, akhirnya kerja tanah untuk tapak madrasah akan dimulakan kira-kira sebulan lagi insyaallah. Tapak pembangunan madrasah yang terletak di Kampung Parit Pinang Seribu Darat tersebut akan dibersihkan dan ditambak bagi memberi laluan kerja-kerja pembinaan.

Selain itu, baru-baru ini juga pihak jawatankuasa pelaksana telah berkesempatan berkunjung menziarahi penaung Madrasah Taman Ilmu Ibnu Mas'ud, Tuan Guru Dr Zulkifli Mohammad al-Bakri (Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan & Terengganu). Kami juga bersyukur kerana berpeluang menziarahi ahli-ahli lembaga penasihat Madrasah Taman Ilmu Ibnu Mas'ud iaitu Ustaz Syed Mohd Fadzli Syed Ahmad al-Yamani (Pengasas Madrasah al-Yamani), Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir (Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) , Ustaz Hamid Jusoh al-Butri (Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), As-Syeikh Mustafa Omar (Kadhi Daerah Batu Pahat) dan Ustaz Mohammad Haidzir Hussin Ibrahim (Pensyarah MARSAH Johor). Semoga segala nasihat dan pandangan ahli-ahli lembaga penasihat madrasah ini akan menjadi panduan dalam merealisasikan hala tuju Ibnu Mas'ud insyaallah. Dalam pada itu, kami juga sempat berkunjung menziarahi al-fadil Ustaz Hj Zahazan Mohamed yang insyallah akan mewarnai majlis-majlis ilmu di Madrasah Taman Ilmu Ibnu Mas'ud kelak.







Pihak Jawatankuasa Pelaksana Madrasah Taman Ilmu Ibnu Mas'ud mengalu-alukan semua pihak yang ingin sama-sama mewaqafkan harta mereka untuk membantu pembangunan madrasah agar menghubungi kami. Semoga segala sumbangan, doa dan sokongan tuan-tuan dan puan-puan sekalian akan mendapat balasan yang tinggi di sisi Allah SWT insyaallah.