Jumaat, 8 Oktober 2010

PROJEK KOMPLEKS ‘TAMAN ILMU IBNU MAS’UD’




Terjemahan Hadith ke-36 Arbain An-Nawawi :
“Dari Abu Hurairah radhiallahuanhu, dari Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda : Siapa yang menyelesaikan kesulitan seorang mu’min dari berbagai kesulitan-kesulitan dunia, niscaya Allah akan memudahkan kesulitan-kesulitannya hari kiamat. Dan siapa yang memudahkan orang yang sedang kesulitan niscaya akan Allah mudahkan baginya di dunia dan akhirat. Dan siapa yang menutupi (aib) seorang muslim Allah akan tutupkan aibnya di dunia dan akhirat. Allah selalu menolong hambanya selama hambanya menolong saudaranya. Siapa yang menempuh jalan untuk mendapatkan ilmu, akan Allah mudahkan baginya jalan ke syurga. Sebuah kaum yang berkumpul di salah satu rumah Allah membaca kitab-kitab Allah dan mempelajarinya di antara mereka, niscaya akan diturunkan kepada mereka ketenangan dan dilimpahkan kepada mereka rahmat, dan mereka dikelilingi malaikat serta Allah menyebut-nyebut mereka kepada makhluk disisi-Nya. Dan siapa yang lambat amalnya, hal itu tidak akan dipercepat oleh nasabnya”.
(Riwayat Muslim)

PERTUBUHAN KEBAJIKAN & DAKWAH IBNU MAS’UD SEBAGAI BADAN DAKWAH
Pertubuhan ini bergerak atas aspirasi Islam yang bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah dalam mengajak dan menyeru manusia atau masyarakat kepada Islam untuk pembentukan peribadi yang utama dari segi aqidah, ibadah dan akhlak serta mengatur ketertiban hidup bermasyarakat dalam segala aspek kehidupan khususnya dalam bidang-bidang pendidikan, ilmu pengetahuan dan sosial.

Dari segi undang-undang pertubuhan ini ialah sebuah organisasi bukan Kerajaan (NGO) yang ditubuhkan di bawah Akta Pertubuhan.

COGANKATA PERTUBUHAN KEBAJIKAN & DAKWAH IBNU MAS’UD
“ILMU, IMAN, AMAL”

VISI PERTUBUHAN KEBAJIKAN & DAKWAH IBNU MAS’UD
Merealisasikan Umat Islam sebagai khairu ummah dan Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam.

Firman Allah, ertinya: "Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang orang yang beruntung" Surah Ali Imran (3): 104

MISI PERTUBUHAN DAKWAH & KEBAJIKAN IBNU MAS’UD
Menyebarkan dan menjunjung tinggi ajaran agama Islam ke arah wujudnya masyarakat Islam yang menjiwai nilai-nilai Islam melalui :
- Usaha menanamkan keyakinan, memperdalam dan memperluas pemahaman, meningkatkan pengamalan, serta menyebarluaskan ajaran Islam dalam berbagai aspek kehidupan.
- Meningkatkan semangat ibadah, jihad, zakat, infak, wakaf, shadaqah, hibah, dan amal salih lainnya.
- Mengembangkan komunikasi, ukhuwah dan kerjasama dalam berbagai bidang dan kalangan masyarakat dalam dan luar negara.
- Mengembangkan prasarana dan sumber dana untuk menjayakan visi pertubuhan.
- Membantu meningkatkan pembelaan terhadap golongan yang memerlukan.

Firman Allah, ertinya: "Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik". Surah al-Ankabuut (29):69


Kompleks Taman Ilmu Ibnu Mas’ud (TIIM) ini akan menjadi sebuah pusat pengajian Islam yang santai dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat. Ia akan mendukung konsep Hablum min Allah wa Hablum min Al-Nas. Kompleks ini akan menyediakan prasarana yang lengkap dan menzahirkan persekitaran yang kondusif untuk membolehkan orang Islam yang hadir di situ mendalami ilmu agama disamping menunaikan tuntutan fardu ain dan fardu kifayah bagi menjadi orang mukmin yang beriman dan bertakwa terhadap kebesaran Allah.
Tapak

Kompleks TIIM ini akan dibangunkan di atas tanah seluas 4 ekar di Kampung Parit Pinang Seribu Darat, Muar Johor. Tapak ini hanya mengambil masa 10 minit perjalanan dari Bandar Maharani Muar dan sangat sesuai untuk menarik penyertaan umat Islam sekitar Melaka, Muar, Segamat dan Batu Pahat. Pada masa ini sekitar kawasan tersebut merupakan perkampungan tradisional Melayu.

Rancangan Pembangunan*
Mengikut perancangan, kompleks TIIM ini akan dibangunkan dalam beberapa fasa;
Fasa pertama ialah pembinaan ‘bangunan madrasah’ yang menjadi nadi kompleks ini yang bakal digunakan sebagai dewan kuliah dan pengajian selain fungsi utamanya sebagai tempat mendirikan solat berjamaah. Selain itu turut bakal didirikan ialah ‘Mahallah Warga Emas’ iaitu satu penempatan yang kondusif bagi tujuan warga emas menuntut ilmu dan beramal.

Apabila selesai fasa pembinaan ini, insyaAllah PERTUBUHAN KEBAJIKAN & DAKWAH IBNU MAS’UD akan berusaha untuk memperluaskan lagi kompleks TIIM ini untuk menampung penempatan anak-anak yatim dan miskin serta menyediakan rumah tamu untuk musafir yang hadir menyertai pogram di Taman Ilmu Ibnu Mas’ud.

Rancangan Aktiviti
Sebagai sebuah pusat pengajian Islam yang menyasarkan semua peringkat umur, pelbagai pogram dan aktiviti bakal dilaksanakan di atas sedeqah jariah tuan puan untuk pembinaan madrasah ini. Antaranya pengajian kitab thuras melalui kuliah subuh, kuliah dhuha, kuliah maghrib, selain kelas fardu ain, qiamulail, majlis zikir, pengajian tahsin al-Quran, forum agama dan pelbagai lagi aktiviti kerohanian seperti sambutan hari kebesaran Islam yang akan dipimpin oleh agamawan terkemuka tanah air insyaAllah. Pegawai yang berstatus hafiz al-Quran juga akan diambil berkhidmat sepenuh masa di madrasah ini.

Selain itu tumpuan juga akan diberikan kepada golongan murid dan pelajar seperti penganjuran pogram motivasi yang bertujuan membina modal insan yang bersahsiah mulia. Golongan muda tidak akan dilupakan melalui pogram hiburan alternatif yang berunsur dakwah dan menepati syariat Islam. Harapannya ialah Taman Ilmu Ibnu Mas’ud ini akan menjadi nadi pembangunan jiwa insan yang bertaqwa kepada Allah SWT dan tempat tumpuan golongan yang dahagakan ilmu, dan memerlukan bantuan seperti dhuafa’, ibu tunggal dan fakir miskin.

PENUTUP
Adalah menjadi harapan untuk semua umat Islam agar sama-sama dapat menyumbang ke arah tercapainya cita-cita murni untuk mengembangkan syiar Islam di atas muka bumi ini. Semoga segala usaha kita akan diredai oleh Allah SWT.